Saturday, July 31, 2010

Mengenal Allah S.W.T

0 comments

1. Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.

2. Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.

3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-


1) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.

2) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan sifatyang wajib tersebut.

4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-

1) Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak dinamakan mengenal Allah s.w.t.

2) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.

3) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan
taqlid.

5. Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir. Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).

6. Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.

7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-

1) Taqlid Jazam (putus)
- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).

2) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau waham(tiada putus).



8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.

9. Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.

10. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.


Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )

Thursday, July 29, 2010

Assalamualaikum

4 comments

untuk pengetahuan para viewers..blog ini ,masih lg dalam pembinaan..tujuan asal blog ini diwujudkan adalah untuk memberi info2 dan segala perjalanan aktiviti2 di dalam dakwah kumpulan dua ini...dan tidak lupa juga untuk menjadi medan dakwah kepada kami untuk mempraktikan apa yang telah diajar...InsyaAllah..

Wednesday, July 28, 2010

Sifat-sifat mazmumah

0 comments

1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.

Tuesday, July 27, 2010

Website currently under construction !

0 comments